Pesanan Terakhir Imam Hassan al-Banna



Wahai MUJAHID DAKWAH!!

Puluhan tahun lamanya,
pendengaran, pergaulan, ketekunan, kegiatan berjuang,
kerana jerih payah dan pembantingan tulang tiada hentinya,
engkau telah kaya dengan pengalaman.

Engkau sekarang telah jadi.

Engkau telah memiliki pengertian dan ukuran
engkau telah turut menentukan jarum sejarah seperti orang lain.


Engkau telah sampai pula ke batas sejarah, kini dan nanti.

Engkau telah memenuhi hidupmu dengan tekun dan sungguh, ikut memikul yang berat, menjinjing yang ringan, membawa batu bata untuk membangun gedung Ummat ini.

Engkau tebus semua itu dengan cucuran keringat dan air mata, kesengsaraan dan penderitaan.

Kawan hidupmu yang menyertaimu dalam segala suka dan duka, telah tiada lagi.

Ia tidak sempat menghantarmu sampai ke batas perhentian.
Tengah jalan dia pulang, dan engkau ditinggalkannya di daerah kesepian.

Di atas kuburnya telah tumbuh rumput, daunnya subur menghijau.

Bunga suci aku lihat tumbuh pula di atas pusara sepi itu.

Tangan siapa gerangan yang menanamnya, aku tak tahu.

Biarkan dia tumbuh menjadi.
Akan tiba juga masanya bunga suci itu mekar menguntum.

Eva dan Sofia akan memetik dia kelak, akan mempersunting dia penghias sanggulnya.

Sudikah engkau menulis nisan kenangan di atas kuburnya,
sebagai tanda pembalas jasa,
kerana dialah penolong engkau di medan bakti?



Wahai MUBALIGH ISLAM!!

Tanganmu telah ikut menulis sejarah.
Sejarah perjuangan Umat,
sejarah menegakkan Cita & Agama,
Benang yang engkau sumbangkan telah memperindah sulaman tarik dari Umat ini.

Engkau kini telah menemui bentukmu,
sesuai dengan bakat & kudratmu.

Engkau tidak lagi anak kelmarin,
tetapi anak kini dan akan pulang lagi meninggalkan bengkalai ini.

Sebagai seorang Jurubicara Umat Islam,
engkau telah mempunyai ukuran dan alat penilai;
sampai di mana kita dan hendak ke mana lagi.
Pengalaman yang engkau perolehi dari perjalanan yang jauh,
akan berguna dan bermakna dalam mencari kemungkinan bagi langsungnya prijuangan Cita ke depan.

Keyakinan yang engkau miliki,
jalan panjang yang engkau tempuh selarut selama ini,
getir yang engkau derita,
segala itu dapat engkau pakai untuk merumus bagaimana lagi perjuangan Umat Islam ke depan - setelah ini.

Paparkanlah semua itu kepada generasi muda yang akan menggantikan engkau!

Ambillah kesimpulan dan kekeliruan dan kegagalan masa lampau.

Belajar dari masa lalu,
terutama belajar dari kekeliruan dan kegagalan yang engkau alami sendiri,
dan teman seiringmu juga.

Bukankah kerap engkau benar dalam pendirian tapi salah dalam perhitungan?

Benar dalam prinsip tapi keliru dalam cara?
Kejujuran dalam perjuangan memesankan,
agar kita mengakui terus terang kekeliruan dan kelemahan diri.
Yang demikian itu penting untuk menyusun paduan masa datang,
mengendalikan kehidupan Cita & Agama.

Dalam kekeliruan,
kita dapat mengambil makna dan guna.

Kita keliru kerana kita telah berbuat.
Ruh intiqadi yang engkau miliki,
janganlah engkau pakai untuk melenyapkan segala harga dan nilai,
dan angkatan lama yang telah berbuat itu.
Mereka adalah anak dan zamannya,
dan telah memenuhi tugasnya pula.

Cahaya dan pelita lilin yang lemah serta lembut itu perlu juga dihargai,
kerana ia telah berjaya memecahkan sudut-sudut yang gelap.



Wahai si JURU DAKWAH!!

Kini engkau telah sampai ke tonggak sejarah.
Di atas pendakian sunyi tidak kesibukan,
terletak pesenggarahan lama,
patilasan orang lalu setiap waktu.
Dan tempat itu hidup kenangan lama.
Masa lalu penuh keharuan dan kenangan.

Duri dan derita,
dera dan kepapaan,
keringat dan air mata.

Tapi ia indah dalam kenangan dan lukisan kalbu.
Engkau pandanglah masa depan dengan Basyirah,
dengan horizon yang tajam.

Memanjang jauh ke muka,
sampai ke kaki langit.

Tahukah engkau,
bahawa engkau hanyalah sebuah mata dan rantai sejarah yang panjang itu?
Telah lalu beberapa kafilah dan kehidupan yang sayup,
dan mereka telah berbuat sesuai dengan zamannya.
Sungai air mata dan titisan darah sepanjang jalan yang membentang dari pangkal hingga ke hujung yang tidak kelihatan,
adalah kalimat yang memberitakan,
bahawa angkatan silam telah mengmbangkan sayap kegiatan mereka dengan segala kesungguhan dan kepenuhan.
Romantik dan heroik zaman silam masih menggemakan genta suara di tengah sahara kekinian,
meninggalkan pesan kehidupan yang penuh dan menyeluruh kepada angkatan kemudian.

Daftar para Syuhada' itu telah panjang,
dari dalam perut bumi telah memutih tulang sebagai saksi kepada yang hidup,
bahawa mereka telah datang dan telah pulang tidak sia-sia.

Dan celah-celah kuburnya kedengaran jua suara halus memuat amanat perjuangan kepada generasi kita yang masih hidup.

Dan lihatlah pula kafilah hidup yang sudah mendesak juga ke batas perhentian.

Masa kini rupanya *"lah laruik sandjo" bagi mereka,
dan waktu pamitan tak lama lagi.



Wahai si TUKANG SERU!!

Entah berapa lama lagi jatah umur engkau yang masih tinggal,
kita tidak tahu.

Tahukan engkau, pekerjaan besar ini tidak akan selesai di tangan engkau?

Sejarah berjalan terus,
lampau dan datang,
kini dan nanti.

Tahukah engkau,
bahawa di belakang kalimat sejarah ini belum ada titik?

Masa yang akan datang penuh dengan rahsia,
tersimpan dalam kandungan ghaib,
misteri gelap bagi kita.
Masa silam dapat engkau baca dalam halaman sejarah;
masa yang akan datang masih gelap tak ada yang tahu?

Tahukah engkau,
kumandang zaman datang dapat juga kita ketahui dari puncak zaman sekarang?
Dalam kekinian, mengandung juga roman zaman yang akan tiba.

Engkau kini berada di antara dua ufuk yang bertentangan,
dua kutub yang tidak serupa.
Engkau kini berada antara idealisme dan realisme dunia.

Idealisme yang engkau miliki dan realisme dunia yang engkau hadapi.

Antara kedua kutub itu, engkau tetap lensa sorotan.
Lensa sorotan sejarah yang berjalan terus dan sentiasa.

Sanggupkah engkau lalu di tengah-tengah dua kutub yang bertentangan ini?

Masih kuatkah kaki engkau berjalan di antara dua dunia yang saling bertentangan itu?



Wahai MUSAFIR yang sedang lalu!!

Jalan ini masih panjang, rantau masih jauh!

Dengan Al-Quran di tangan kanan dan kain kafan di tangan kiri,
teruskanlah perjalanan ini.

Berjalan dan melihat ke muka,
menggunakan sisa umur yang masih ada.

Entah bila akan sampai ke tempat perhentian,
engkau tak tahu, - aku pun tidak.

Di tengah laut lepas dan luas,
pencalang ramping itu telah jauh ke tengah.

Awan menyerang kiri dan kanan,
gelombang mengganas dan badai menghempas.

Pencalang ramping itu naik turun mengikut amukan air.
Jurumudi mendapat ujian.

Berpirau melawan arus,
pesan seorang pemimpin,
dijadikan pedoman dalam hati.

Kemudi dan pimpinan bertanggungjawab atas keselamatan pelayaran ini.

Kini kita telah jauh berada di tengah.
Pelabuhan tempat bertolak tiada kelihatan lagi,
sedang ranah-tanah tapi belum jua tampak.



Wahai MUJAHID ISLAM!!

Akhirnya pelayaran ini sampai juga ke pantai,
berkat jurumudi yang piawai memegang pimpinan.
Engkau dan Umat ini kini harus berjalan kaki,
menggunakan tenaga diri sendiri.

Tak ada penolong selain Dia semata,
yang melindungi kita dari awal mula sampai hari ini.

Jalan masih panjang, rantau Cita masih jauh.
Ufuk-ufuk baru kelihatan juga,
tambah dijelang tambah jauh rasanya.

Kafilah itu lalu dan berjalan terus, menempuh laut sahara tiada bertepi.

Sunnah perjalanan alam membawa kata pasti;
setelah malam kelam negeri ini,
fajar pagi yang indah akan menyingsing.

Di atas asap yang tebal, terbentang langit cerah yang biru.

Gelap dan gelita alam,
lapisan kabus tebal dan berat.
Di halaman langit tak ada bintang.

Berfikirlah sejenak dan melihatlah ke atas,
ada sebutir terang mengirim sinar ke bumi.

Sebuah bintang itu jadilah,
kerana ada pedoman bagi kafilah di tengah sahara luas.

Pelaut yang arif selalu mendapat alamat dari sebutir terang di halaman langit.



Wahai UMAT RISALAH!!

Dengarlah suara Bilal bergema dari ufuk ke ufuk!

Dengarlah seruan azan bersahut-sahutan dari menara ke menara!

Renunglah suara takbir berkumandang di mana-mana,
memanggil Umat ini dengan kalimat sakti:
'حيّ على الصلاة! حيّ على الفلاح!'
'Marilah sembahyang! Marilah menang!'

Engkau pandanglah Umat Jama'ah itu berdiri bersaf-saf di belakang seorang Imam,
rukuk dan sujud bersama-sama.

"Suatu pandangan dari udara atas dunia Islam pada saat sembahyang,
akan memberikan pemandangan dan sejumlah lingkaran konsentrasi yang terdiri dari kaum Muslimin,
dengan jari-jarinya yang bertitik pusat di Ka'abah di Mekah,
dan yang terus mengambil tempat yang lebih luas,
dan Sierra Leone sampai ke Kanton dan Toboisk sampai ke Tanjung Pengharapan",
- demikian kata Philip K. Hitti melukis kaum Muslimin di kala menyembah Tuhannya.

Engkau lihatlah mereka di dalam masjid yang sudah tua tidak terurus,
surau yang hampir roboh kerana tekanan masa,
dengan sepi di tengah sawah;
dengan pakaian yang compang-camping dan tenaga lemah,
masih berdiri menegakkan Solat.
kaum Muslimin itu masih tetap melakukan 'ibadah kepada Tuhannya,
memanjatkan doa ke hadrat Ilahi,
semoga segera datang tangkisan ghaib dari udara menolong kaum yang lemah ini.

Wahai Tuhanku,
kalaulah ada di antara Umat ini yang berhak menerima redha dan ma'unahMu,
- kalaulah ada di antara Umat ini yang berhak menerima bantuanMu,
mereka itulah dia!

Merekalah yang berhak menerima gemilang sayangMu
dan arahan Rahim Mu: menegakkan yang lemah, mengangkat kaum yang tertindas!



Wahai UMAT DAKWAH!!

Amanat perjuangan itu kini jatuh ke tangan kaum yang lemah, Dhu'afa dan Fuqara;
tenaga lemah dan dana tak ada.

Di tangan kaum yang lemah itu tersimpan kekuatan Umat ini.
Rahsia kejayaan dan kemenangan,
bulat seluruhnya dalam genggaman mereka.

Innama tunsyaruna wa turzaquna bidlu 'afaikum! (Hadis)

Kamu akan mendapat kemenangan hanya dengan bantuan kaum yang lemah di antara kamu.

Bimbinglah tangan Umat ini kembali, bawa mereka ke jalan yang benar!

Jangan biarkan Umat ini ditelan kesepian;
jangan dibiarkan Umat ini ditakuti oleh hantu kesangsian,
tanpa pimpinan.

Hidupkan terus api idealisme dan kembangkan sentiasa optimism dan enthousiasme.
Sinarkan apatisme dan fatalisme,
lenyapkan defaitisme,
menyerah kepada keadaan atau menjadi budak dari kenyataan!

Denyutkan kembali jantung Umat ini!

Wajarkan kembali aliran darah Tauhid mereka!

Tuhan telah menjanjikan kurnia dan bantuan kepada kaum yang lemah,
kaum yang tertindas di bumi.

"Dan Kami hendak menumpahkan budi atas mereka yang ditindas di bumi, dan Kami hendak menjadikan mereka Pemimpin, dan Kami hendak menjadikan mereka mewarisi bumi. Dan Kami hendak meneguhkan kekuasaan mereka di bumi."
(Al-Qashash: 5,6)

Wahai UMAT PILIHAN!!

Kamu adalah kaum Muslimin,
nama pilihan dan panggilan kehormat yang diberikan Tuhan dan dahulu sampai hari ini.

Kamu bukanlah golongan 'mustalimin' kaum yang menyerah - kalah kepada kenyataan.

Sebagai Umat yang beriman,
hadapi kenyataan hidup ini dengan kesedaran dan keinsafan,
kewaspadaan dan keperwiraan.

Hadapilah kenyataan di bumi ini dengan ketenangan jiwa dan keyakinan hidup!

Hanya dengan ketenangan jiwa dan keyakinan hidup,
hanya dengan Sakinah dan Mutmainnah itulah kamu bermakna dan berguna hidup di tengah-tengah manusia di dunia.

Hanya dengan 'Aqidah yang kuat dan kaedah yang jelas,
kamu dapat menempuh kehidupan ini.

Hanya dengan Wijhah hidup yang tegak dan khittah perjuangan yang cerah serta terang,
kamu dapat membawa Umat ini ke tepi ufuk ke Redha Ilahi.
Tegakkan 'Aqidah Islamiyah dalam dada Umat,
suburkan "Ibadah!"

Susun Umat ini dalam pola Jama'ah menurut taulan Sunnah, jauhi Firqah!

Jama'ah adalah kekuatan dan kesatuan;
Firqah adalah kelemahan, remuk dan kehancuran.

Hamparkan kembali tikar Ukhuwah Islamiyah dan Ukhuwah Imaniyah dalam kalangan Umat Islam ini, tanamkan Mahabbah dan Marhamah!



Wahai ANGKATAN KINI!!

Tak lama lagi engkau akan kembali pulang,
memberi laporan kepada Tuhan,
mempertanggungjawabkan segala amal, jasa dan karyamu di dunia.
Tinggalkan bengkalai ini kepada generasi muda yang akan datang mengganti.

Hidupkan dinamik dan militansi muda Islam,
yang akan menggantikan kamu setelah kamu tak ada,
yang akan meneruskan pekerjaan yang belum selesai ini.
Janganlah kamu hendak hidup seperti pohon beringin besar,
yang ingin hidup sepanjang abad,
dan tidak memberi kesempatan kepada tunas-tunas baru tumbuh dan menguntum di sekeliling.

Risalah dan Amanah ini tidak akan selesai di tangan engkau sendiri.

Susun dan sediakan Tenaga Baru,
yang berbakat dan berkarakter,
yang akan melanjutkan perjuangan ini dengan segala keyakinan dan keperwiraan.

Tahukah engkau,
salah satu sebab dan kelemahan Umat Islam ialah tiadanya atau kurangnya kadar yang berwatak, kadar pemikir dan pejuang yang sanggup menggantikan angkatan lama?
Tulang dan tenagamu yang sudah lemah,
jatah umurmu telah semakin kurang memesankan kepadamu supaya mencari ganti di hari kini.

Patah tumbuh hilang berganti;
jangan ada vacuum pimpinan atau fathrah pedoman kelak terjadi dalam kalangan Umat Islam.



Wahai ANGKATAN BARU!!

Siapkan dirimu untuk menggantikan angkatan tua,
mereka akan pulang tak lama lagi.
Janganlah engkau menjadi pemuda kecapi suling,
yang bersenandung meratapi tepian yang sudah runtuh,
mengenangkan masa silam yang telah pergi jauh.
Janganlah engkau membuat kekeliruan lagi seperti pernah dilakukan oleh angkatan yang telah engkau gantikan.
Teruskan perjalanan ini dengan tenaga dan kakimu sendiri.
Dada bumi cukup luas untuk menerima kehadiranmu.

Penuhilah segenap udara ini dengan kegiatan dan ketekunan, sungguh dan penuh.

Hadapi tugas mahaberat ini dengan jiwa besar,
dengan daya juang api semangat yang nyalanya kuat dan keras.

Pupuklah Ruhul-Jihad,
semangat revolusioner,
radikal dan progressif dalam jiwamu,
dan bertindaklah sebagai laki-laki dengan perhitungan yang nyata dan pertimbangan yang matang.

Perkayalah dirimu dengan meneladan kepada masa silam,
di mana ada yang rebah dan ada yang bangun,
ada yang jatuh dan terus berdiri lagi.
Kamu tidak boleh menjadi 'plagiator' dan angkatan lama,
dan tidak boleh pula menepuk dada serta meniadakan segala harga dan nilai, jasa dan karya angkatan lama.

Mereka kaya dengan pengalaman,
engkau kaya dengan cita-cita.

Padukanlah pengalaman angkatan lama dengan nyala citamu!

Sejarah ini telah lama berjalan bergerak dan berkembang.
Kamu hanyalah tenaga penyambung menyelesaikan bengkalai yang belum selesai.
Meneruskan pekerjaan besar, sundur bersundut,
dan keturunan yang satu kepada keturunan yang lain,
angkatan kemudian angkatan.

Kafilah hidup ini adalah ibarat gelombang di lautan;
menghempas yang satu, menyusul yang lain;
memecah yang pertama datang yang kedua.

Sedarilah posisi dan fungsimu dalam sejarah,
dan lakukanlah tugas suci ini denga pengertian,
keyakinan dan kesabaran!

Insafilah kedaulatanmu sebagai Pemuda Angkatan Baru,
yang hendak menggantikan manusia tua angkatan lama.
Tidaklah sama dan serupa antara angkatan zaman itu,
kerana sejarah berjalan sentiasa menurut hukum dinamika dan hukum dialektika.

Wahai UMAT QURAN!!

'Aqidah dan Wijhah hidupmu menyuruh engkau tampil ke depan,
mengkhutbahkan 'Suara Langit' di bumi.
Isilah fungsimu dengan kegiatan dan kesungguhan;
jalankan Amanat ini dengan segala kepenuhan dan ketekunan.

Dunia dan Kemanusiaan menunggu pimpinan dan bimbingan.
Bumi menantikan 'Cahaya Langit' yang mampu menyapu kegelapan.

Jaga dan peliharalah jangan sampai 'jambatan' ini runtuh,
agar hubungan Bumi dengan langit tidak patah atau terputus.

(1) Qum, Faanzir!

Bangkit dan berdirilah,
susun barisan dan kekuatan.
Barisan dan kekuatan Umat.

Canangkan seruan dan ancaman.
Seruan kebenaran dan ancaman kebinasaan jika menolak atau menentang kebenaran.
Gemakan sentiasa Kalam Ilahi,
kumandangkan selalu suara dan seruan kebenaran.

Sampai peringatan ini ke kuping segala Insan!
Gempitakan kepada dunia dan kepada manusia ajaran agama Tauhid,
ajaran Cita dan Cinta.

(2) Worabbaka fakabbir

Besarkan Tuhanmu, di atas segala!
Tiada kebenaran yang menyamai KebesaranNya.
Tiada kekuasaan yang menyamai KekuasaanNya.
Tiada urusan atau kepentingan yang lebih dan urusan dan kepentingan menjalankan perintahNya.
Kecil semuanya di hadapan Allahu Akbar.
Fana, lenyap dan binasa segala dalam keBaqaanNya.
Tiada ketakutan selain dari azab siksaNya yang akan menimpa.

Tiada harapan selain dari keRedhaanNya belaka.
Tiada kesulitan apabila ruh telah bersambung dengan Maha Kebesaran dan Maha Kekuasaan Tuhan yang Tunggal itu.

(3) Wa thiabaka fathahhir!

Bersihkanlah dirimu, lahir dan batinmu!
Hanya dengan kesucian ruh jua,
Amanah dan Risalah ini dapat engkau jalankan.

Hanyalah dengan kesucian ruh engkau dapat memikul tugas dan beban berat ini.

Sucikanlah dirimu, lahir dan batin,
baru engkau ajar  manusia menempuh tugas dan beban berat ini.

Thahirum muthahir
suci dan menyucikan,
itulah peribadi Mukmin sejati.

Tangan yang berlumur darah maksiat tidak mungkin akan berbuat khairat kepada dunia dan manusia..
Jiwa yang kotor dan penuh dengan dosa tidak mungkin akan memberikan isi dan erti dunia dan manusia.

(4) Warrujza fahjur!

Jauhilah maksiat, singkiri mungkarat!
Dosa itu akan menodai dirimu,
akan menghitamkan wajah riwayatmu.

Engkau tidak akan sanggup menghadap,
jika mukamu tebal dan hitam dengan dosa dan maksiat,
Namamu akan cemar di hadapan Rabbi,
kalau laranganNya tidak engkau singkiri dan jauhi.

Bersihkan keluargamu, jiran tetanggamu, masyarakat bangsamu dan maksiat dan mungkarat dan dosa dan noda.

Bangsa dan Negaramu akan karam tenggelam dalam lembab kehancuran dan kebinasaan,
jikalau maksiat dan mungkarat telah menjadi pakaiannya.
Makruf yang harus tegak dan mungkar yang harus roboh,
adalah program perjuanganmu.
Al-Haq yang mesti di menangi dan bathil yang harus dibinasakan,
adalah acara dan jihadmu.

(5) Wala tumnun tastakthir'

Janganlah engkau memberi kerana harapkan balasan yang banyak!

Jalankan tugas ini tanpa mengharapkan balasan dan ganjaran dari manusia yang ramai.

Menjalankan tugas adalah berbakti dan mengabdi,
tidak mengharapkan balasan dan pujian,
keuntungan benda dan material.

Kekayaan manusia tidak cukup untuk 'membalas' jasamu yang tidak ternilai itu.
Bukankah tanpa engkau,
masyarakat ini akan kering dan ketiadaan Iman, kepercayaan dan pegangan?

Bukankah tanpa engkau,
masyarakat ini akan lenyap ditelan kesepian,
tiada suluh dan pelita?
Bukankah tanpa engkau,
hidup ini akan kerdil;
hidup kehampaan dari segala kehampaan,
kerana tiada Iman dan Agama?

Kalau tidak adalah 'penyuluh-penyuluh' baru datang ke dunia seperti engkau,
alam ini seluruhnya akan tenggelam dalam kegelapan, kesepian dan kehampaan.

Jalankan tugas ini kerana hanya mengharapkan keRedhaan Tuhanmu jua.



(6) Walirabbika fashbir!

Kerana Tuhanmu, hendaklah engkau sabar!

Lakukanlah tugas dan kewajipam ini denga segala kesabaran dan ketahanan.

Sabar menerima musibah yang menimpa,
ujian dan percubaan yang datang silih berganti.
Sabar menahan dan mengendalikan diri,
menunggu pohon yang engkau tanam itu berpucuk dan berbuah.

Tidak putus asa dan hilang harapan atau kecewa melihat hasil yang ada kerana tidak seimbang dengan kegiatan dan pengorbanan yang diberikan.
Hanya Umat yang sabar yang akan mendapat kejayaan sejati dan kemenangan hakiki.
Hanya Umat yang sabar yang akan sampai kepada tujuan.

Haza dzikrun!

Inilah enam peringatan dan enam arahan!

Untuk Mujahid Dakwah. Syahibud Dakwah, si Tukang Seru.

_Assyahid Imam Hassan al-Banna, Usrah dan Dakwah_

Comments

Popular posts from this blog

Apakah Hukum Doktor Wanita Merawat Pesakit Lelaki?

Sungguh, Aku Teramat Sangat Bersyukur (Bah 1)